Kelahiran dan Keturunan Ahmad_ibn_Hanbal

Nama penuhnya adalah Ahmad bin Muhammad bin Hanbal bin Hilal bin Asad bin Idris bin Abdullah bin Habban bin Abdullah bin Anas bin Auf bin Qasit bin Mazin bin Asyaiban bin Zahal bin Ta'labah bin Akasyah bin Syaab bin Ali bin Bakar bin Wa'il bin Qasyid bin Hanab bin Aqsi bin Da'mi bin Jadilah bin Asad bin Rabiah bin Nizar bin Ma'ad bin Adnan terkenal dengan gelaran Abu `Abdillah al-Shaybani (أحمد بن محمد بن حنبل أبو عبدالله الشيباني). Keturunannya bertemu dengan keturunan Rasulullah pada Mazin bin Ma'ad bin Adnan.

Ahmad ibn Hanbal dilahirkan di Baghdad pada 20 Rabiul Awal tahun 164 Hijrah bersamaan 780 Masehi. Pada ketika itu Imam Abu Hanifah pengasas mazhab Hanafi telah pun meninggal dunia kira-kira 14 tahun yang lalu. Imam Malik pada ketika itu berusia 71 tahun. Manakala Imam Syafie baru berusia 14 tahun. Beliau lebih dikenali dengan nama datuknya Hanbal kerana datuknya adalah merupakan seorang Gabenor yang amat masyhur di Khurasan ketika pemerintahan Kerajaan bani Umayyah. Manakala ayah Imam Ahmad iaitu Muhammad pula adalah merupakan seorang tentera Bani Hasyim. Beliau meninggal dunia ketika berusia 30 tahun. Imam Ahmad dipelihara oleh ibunya yang bernama Safiyyah binti Maimunah binti Abdul Malik bin Sawadah bin Hindun As Syaibani . Kedua-dua ibu dan bapanya merupakan keturunan arab asli daripada suku Syaiban. Kebanyakan suku Syaiban menetap di Basrah. Kerana itu Imam Ahmad juga digelar Al-Basri.